|
10:06 p.m. - 2004 Oktober 26
Tersebutlah sebuah kisah di sebuah negeri Antah Berantah, akan suatu makhluk yang hidupnya menjadi pemangsa. Di manakah sebenarnya negeri itu? Bilakah kisah ini berlaku? Persetankan semua itu, kerana ini suatu mitos, suatu kisah tak logik. Perlukah masa dan tempat untuk mengaburi suatu pembohongan? Kisah ini sejujurnya begitu karut sekali. Begitu lunatik dan gila. Kerana ini kisah seorang buaya. Kalian pasti ketawa terkekeh-kekeh sekarang. Paling kurang tersenyum sumbing. Atau sepatutnya kalian gelak sambil bergolek-golek. Kanan, kiri dan kanan sambil kaki tergedik-gedik. Ya, runut bunyinya pada 'gedikgedik-gedik' itu. Lalu apa boleh aku lakukan? Marah, memberontak dan mengamuk? Macam Jebat kematian Tuah? Oh, kalian terlalu praktikal. Terpengaruh amat dengan jalan hidup membosankan. Aku tak mahu marah. Deviankah aku? Aku sekadar ikut moralku. Marah-marah tak merubah apa-apa. Mulut herot tambah senget. Kaki gedik tambah kencang. Kerana ini kisah aku. Kisah seorang buaya. Buaya tak memerlukan perasaan untuk memenuhi kehendaknya. Buaya itu pemangsa dan adat hidupnya berkehendakkan mangsa. Mungkin kalian berfikir sejenak, mungkin jua dua tiga detik mahupun empat lima purnama; bagaimanakan mungkin buaya berbahasa manusia? Aku tak mampu diamkan saja. Kerana makin menarik suatu rahsia, makin manusia mahu mengetahuinya. Makin giat pula mereka bertanya, maka makin terseksa aku jadinya.
Alkisahnya begini; di suatu pagi bening sesudah solat subuh (oh, aku masih buaya. aku masih tak wajib solat. abaikan), aku pun merangkak keluar daripada Sungai Rajang (atau sebenarnya Kinabatangan, mungkin juga Sungai Pisang). Niat di hati hanya satu, ingin ke Gunung Ledang, bertemu guru bijaksana Pateh Karma Wijaya. Fajar itu juga, aku berangkat. Berbekalkan iman di dada (hanya iman yang aku ada. buaya tak perlu Bush Jacket untuk terus hidup), aku merangkak pelan-pelan menyusuri danau dan belukar, hutan dan rimba. Dalam perjalanan itu, bermacam makhluk aku temui. Ada Anaconda sepanjang tiga puluh kaki (walaupun ia sendiri langsung tidak berkaki). Ada naga sayap dua, matanya satu. Sebelah lagi sudah buta, ditikam sesuatu. Aku temui kucing bertanduk mengiau dengan bunyi anak kucing (sekalipun ia memang masih anak, baru tiga bulan. tapi biarlah, sekadar menambah suspennya). Kucing itu ku sangka Unicorn, kuda bertanduk. Rupa-rupanya ia kucing, bukan kuda. Daripada Almeth (itu namanya, fiksyen bukan?), tahulah aku kucing bertanduk dan kuda bertanduk itu bukanlah sepupu, sekalipun kedua-duanya punya tanduk. Itulah aku, buaya. Jahilnya. Dan akhirnya setelah begitu payah, susah, ketemu jua akhirnya aku sama Pateh Karma Wijaya. Dengan beliau, belajarlah aku ilmu kemanusiaan; sains politik, agama, psikologi, sosiologi dan bermacam-macam lagi. Dan pada hari konvokesyen, setelah 20 tahun berguru, aku peroleh satu kesaktian daripada guru; yakni ilmu menjadi manusia. Turunlah aku daripada kemuncak Ledang, bersama ilmu baru, kekuatan baru dan matlamat baru. Ya, aku buaya kini adalah manusia. Perjalanan turun semula ke bumi memakan pula masa 200 lebih tahun. Hampir sama panjangnya dengan perjalanan naik. Cuma mungkin bezanya pada satu atau dua purnama. Turun di bumi datar, aku temui sebuah perkampungan. Sederhana suasananya. Aman keadaannya. Lalu hati aku terpaut pada bumi itu dan mahu menetap di atasnya. Ilmu Pateh Wijaya membenarkan segalanya. Dengan bacaan beberapa ayat, dengan beberapa tepukan di bumi, maka bertukarlah aku daripada buaya kepada manusia. Namun entah mengapa, mana silapnya, aku tak menjadi manusia biasa. Aku bertukar daripada seekor buaya jantan tua berusia 500 tahun kepada suatu titik kecil, nutfah, berumur 1 hari manusia. Aku kini dikandung dalam rahim seorang ibu manusia. Mungkin 500 tahun usia dan kebijaksanaan seekor buaya barukan sama 1 hari kandungan manusia. Dikandunglah aku dalam rahim itu 9 bulan 10 hari, tanpa diketahui halnya bahawa aku ini seorang buaya. Bukan lagi seekor, kerana hakikat menidakkan aku berekor, mahupun berwajah buaya. Namun begitulah sebenar-benarnya, buaya tetap buaya. Dan kelak, ibu itu jualah yang membesarkan aku. Mengasuh aku dan mendidik aku. Luarbiasanya, sepanjang kanak-kanak dan awal remaja, aku tidak pernah mendapat petunjuk mahupun ilham bahawa aku ini sebetulnya buaya. Maka hiduplah aku dalam kehidupan manusia senormal-normalnya. Hinggalah suatu petang hari, dalam menangggung tenatnya sakit di dada, aku bermimpi, “Akan datang wakilku memberitahu asalmu. Siapa engkau yang sebenarnya” Wajah dalam mimpi itu begitu mesra di ingatan. 'Macam pernah ku lihat wajah itu. Tapi di mana, ya?'
Sebenar-benarnya aku ini Gusti Putri. Gusti Putri Retno Dumilah, anak Gusti Saraswati Wangsat. Aku ini puteri Tanah Jowo, bumi Ramayana dan Siva tulen. Mungkin kalian juga kenali aku dengan nama Puteri Gunung Ledang. Kerana di Gunung Ledanglah aku bersemayam dan beradu. Kerana di Ledanglah aku dimamah tulah sultan. Kerana bumi Ledanglah saksi cinta aku dan Tuah berkubur. Ya, itulah aku sebetulnya. Bukan Pateh Karma Wijaya, si tua yang bijaksana. Aku ini wanita, masih gadis sebetulnya, bukan jantan tua pengamal ilmu kebatinan. Cuma kehampaan itu menukarkan penyamaran aku. Kehampaan pada cinta buta. Cinta yang padanya aku serahkan segala. Kerana Tuah, aku ditulah. Tiada wajah dapat memandang kegadisanku, dan jika mereka alpa, muntah darahlah mereka. Aku tak mampu jejaki tanah kecuali kemuncak ledang ini. Sultan Mahmud Syah. Itulah gerangannya lelaki yang menyusahkan seluruh hidupku. Sumpahannya menutup hatiku dan membunuh rasaku. Daulat bumi Melaka begitu kuat, hinggakan bergetar badanku menerima balasan. Tapi takdir tuhan menentukan, raja zalim raja disanggah. Bumi Melaka jatuh. Empayar Melaka ranap. Portugis tiba dan daulat sultan merekah. Sumpah hanya tinggal sumpah. Jatuhnya Melaka, kesedihannya datang dengan kegembiraanku. Sumpah hilang pabila daulat punah. Namun ketawaku tak lama. Untuk apa lagi hidup ini? Untuk cinta? Setelah berdekad cinta membarah, memusnah, masih cintakah hidupku terarah? Jika tidak kerana cinta, maka ke mana lagi aku mahu pergi? Majapahit sudah jatuh. Yang tinggal hanyalah Demak, Portugis dan Johor-Riau. Demak pencetus sengketaku. Portugis di Melaka hanya menambah garit lukaku. Dan Sultan Ahmad di Johor hanya mengingatkan aku pada ayahanda Mahmudnya yang laparkan diriku. Sepurnama berlalu, nusantara bercakaran. Dan aku menetapkan untuk terus di sini. Selagi roh bernyawa dan badan berakal. Dengan ilmu saktiku, aku tukarkan diriku kepada watak seorang lelaki. Tua dan bijaksana. Bukan semata-mata kerana tidak lagi percayakan pemuda. Kerana kalau begitu, lebih baik aku jadi lesbian saja. Tapi kerana mahu berbakti pula. Pada tanah ini yang telah setia menyimpan rasa dan rahsia. Begitulah aku menjadi guru. Pada beribu pemuda. Supaya mereka jadi pemuda berguna. Bukan seperti ‘dia’ yang menurut rasa semata-mata. Dan di suatu hari, di luar kebiasaan, datang seekor buaya. Dia minta diajarkannya akan ilmu kemanusiaan. Lalu belajarlah dia penuh teliti dan rajin. Dan jua kerana kesungguhannya, aku anugerahkan padanya suatu ilmu: Ilmu menjadi manusia. Kelak buaya inilah nanti yang aku temui di masa depan.
Tarikh: 2 Mac 2004 Kami berjanji mahu bertemu di sini. Sebagai kawan dan teman. Sebagai kenalan. Membuka lembaran baru dalam hidup kami. Buaya: Berdebar juga mahu ketemu seseorang yang mengetahui siapa sebenarnya aku. Setakat mana ilmu tafsirannya? Benarkah dia mampu tahu jantan betina, hanya melihat kocakan airnya? Cik Puan Putri: Bagaimanakah akhirnya hidup buaya. Masih manusiakah dia? Atau kembali buaya? Kerana hidup jadi pemangsa sebenarnya lebih senang dalam fizikal manusia. Cuma lain sedikitlah cara memilih dan jenis mangsanya. Maka benar-benar bertemulah kami. Luarbiasa benar jika asalnya diamati. Buaya sama manusia sakti makan sama-sama satu meja. Mampu pula bergurau senda seperti sudah lama berkenal mesra. Walhal memang ya. Mereka sudah lama kenal dan mesra. Cuma dalam dunia, alam dan hubungan yang lain. Dan tatkala mahu pulang, buaya yang tidak mampu menahan keraguan lalu bertanya: Apakah kau ini sebenarnya Retno Dumilah? Jika ya, maka sudah ketemukah dikau akan Tuah?
Aku punya banyak pilihan. Aku sudah lama loya sama daging mentah. Cuma sekali sekala, bilamana jiwa buaya itu datang, kan aku ratah sushi berinti ikan separa masak. Dan jika tidak, aku punya banyak pilihan lain. Daging panggang, stew, stik, daging goreng, itu dan ini. Jadi buaya juga bererti aku punya abiliti istimewa. Mampu tawan wanita berjuta. Heh! Namun taklah aku salah guna, kerana aku kekal manusia. Cuma mungkin misterinya hubungan mangsa-pemangsa membuatkan mangsa-mangsa terus ghairah diburu. Entahlah. Oh ya. Perihal Karma Wijaya, penternak buaya itu. Benarlah dia Gusti Putri. Kerana setelah berjumpa dengannya, aku muntah berdarah. Juga seorang teman lain, turut sama muntah berdarah selepas bertemu dengannya. Aku yakin muntah darah itu tiada kaitan langsung dengan penyakit kami. Barah otak dan paru-paru beracun. Ia suatu sumpah.
Aku tak tahu. Benar-benar tak tahu. Ilmu aku tak sampai ke situ.
|