|
9:58 a.m. - 2004 Ogos 31 “Seorang pelajar wanita mati akibat kekejangan, hanya disedari setelah 12 jam terperangkap di dalam tandas wanita.” Kamu mungkin membaca tajuk gempar muka utama sebegini dalam akhbar bertarikh keramat 31 Ogos 2004. Atau hanya sebagai sisipan kecil dalam banjiran laporan sambutan kemerdekaan di sana sini. Apa kamu lakukan? Terkejut? Kelu lidah tak terkata? Tak sangka ada berlaku perkara sebegini dalam pada yang lain sibuk merayakan kemerdekaan negara? Atau kau langsung tak ambil kisah. Kerana yang lebih penting ialah membaca ulang tayang sambutan semalam; wah artis ni melaram baju ini, rekaan si dia ni, dengan solekan begini, di‘duet’kan dengan artis baru untuk lebih laku, juga betapa patriotiknya sajak-sajak yang dibaca, atas nama cintakan negara, atas nama keranamu Malaysia.. Tak percaya? Aku tidak menokok tambah cerita. Aku memang punya teman yang membeli akhbar sekadar untuk membaca bahagian hiburan semata. Dan bukan seorang dua, malah dengan jumlah yang agak ramai juga [aduh, kamu-kamu itu siswa dan siswazah di IPTA!] Bila ditegur, mereka tak buat apa. Kecewa? Siapalah aku untuk berasa kecewa dengan tindakan mereka. Dan oh ya, kau lupa kegemilangan malam semalam? Bunga api warna-warni meletup sana-sini [abah kata: “hangus la duit cukai bulan-bulan yang aku bayar”] Dan artis hebat tanahair dijemput meraikan dengan aneka konsert dan lagu paling hit sekali disamping promosi album terkini. Jangan sesekali kau lupa, kerana sambutan sebegini pasti akan lebih gah untuk tahun berikutnya juga. Bertuahnya kita menjadi anak merdeka.. Tak perlu bimbang untuk pulang lewat dinihari. Biar embun jantan menitis, pengangkutan awam masih sedia menanti. Demi ‘merdeka’nya Malaysia, stesen LRT dilewatkan operasi hingga jam 3-4 pagi. Tidak menjadi kesalahan untuk kau tidur bergelimpangan bak dalam reban di dataran. Persetan dengan anggapan orang, kita kan anak merdeka..! Jalur gemilang yang malamnya dikibar penuh semangat, pagi nya bersepah dikutip DBKL. Atau, menjadi hamparan merpati dua sejoli merata sebagai kain pembalut diri. Kerana apa? Keranamu Malaysia.. Kan patriotik tu! Jadi kibarkanlah jalur gemilang anda! Kau tunggu apa lagi? Pergi beli! Dan gantung dengan penuh gah penuh sendat di kereta dan rumah, juga pada setiap ceruk bangunan selagi boleh ditatap..! Eh, apa jadi pada pelajar wanita yang hanya disedari mati selepas 12 jam itu? Oh, tak usah terkejut. Semalam, dari jam 8pagi hingga 5petang aku ada ujian memandu JPJ [ya, emma ini walau sudah memandu sejak tingkatan dua, lesennya tidak pernah ada..] Seharian berpanas memang tak selesa. Tiba di kampus sambung urusan hingga jam 11.30malam kerana menanti buaya jambu beri draf kerja [oh ya, koleksi buaya dah bertambah menjadi 7 orang..] Pulang, terpaksa meredah gerombolan manusia yang berkumpul kononnya bersemangat menyambut merdeka. Sampai ke bilik, setelah seharian berada di luar dengan badan melekit, aku capai tuala untuk mandi. Air pertama mencurah di kepala, [salah aku juga sebab tak rasa tahap kesejukan air] menyebabkan badan aku kejang seluruhnya. Aku terduduk, dalam keadaan satu badan merasa kebas, tak boleh bergerak. Dan saat itu juga aku terdengar dentuman mercun penuh gemilang di luar sana. Oh, tak guna menjerit minta bantuan, sudah sah satu blok aku kosong tanpa penghuni. Semua sibuk merayakan kemerdekaan. Dan kenapa 12 jam ye? Sebab kalau aku mati kejang [ku bilang kalau, kerana kita tak pernah tahu bila dan bagaimana ajal itu menjemput kita], aku percaya tak siapa akan tahu keadaan aku yang dah menjadi mayat itu. Jika ada pun penghuni bilik lain yang akan ke tandas, hanya sekitar jam 10pagi untuk mandi. Itupun sudah pasti mereka menyangka aku juga mandi seperti mereka [waktu ni aku dah menjadi mayat patutnya]. Dan malangnya kerana hari cuti, maka makcik cleaner tidak akan datang untuk membersihkan tandas seperti pagi sebelumnya. Jadi mungkin sekitar jam 12tengah hari, ada pelajar yang perasan keadaan pelik setelah air mula melimpah tak henti dari shower yang aku terkunci didalamnya [kerana shower kami ni unik, kalau kau mandi lama sikit, airnya akan bertakung; macam swimming pool gitu]. Dan pada waktu itu baru gempar seluruh blok, malah ke serata universiti tentang berita yang aku khabarkan di awal entri tadi. Menarik bukan? Sebab itu aku tak mahu menanti mati dalam keadaan begitu. Aku paksa tangan bergerak sedikit demi sedikit untuk menutup paip shower. Rehatkan badan dan mula usaha untuk bangun. Sudahnya aku tak jadi mandi. Keluar dari bilik mandi dengan mengheret badan sendiri kembali ke bilik. Terus capai comforter dan tidur dengan lena. Oh sebelum terlupa, selamat menyambut hari merdeka ya!
|